Foto APMM
AGENDANASIONAL

Langgar syarat lesen, APMM tahan tiga bot penumpang di pantai Port Dickson

SEREMBAN, 12 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan tiga bot penumpang selepas didapati melanggar syarat sah lesen di perairan negeri petang tadi di Port Dickson.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata semasa anggota penguat kuasa sedang melakukan pemeriksaan rutin di kawasan peranginan mendapati bot tersebut melanggar syarat sah lesen.

“Semasa tahanan dilakukan, pemandu bot berkenaan sedang membawa penumpang yang sedang berekreasi bersempena cuti hujung minggu ini.

“Pemandu bot itu adalah warga tempatan, antara kesalahan dikesan nama jurumudi tiada dalam lesen, permit tamat tempoh dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengusaha bot di kawasan tumpuan pelancong perlu mematuhi syarat sah lesen ditetapkan agar pelancong dan penumpang mendapat ganti rugi yang sewajarnya jika berlaku perkara yang tidak diingini semasa melakukan aktiviti air.

Mohd Khairi berkata bot seterusnya dibawa ke jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Beliau berkata sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 beroperasi secara 24 jam.

— BERNAMA


Pengarang :