BUDAYARENCANA

Menjenguk Saratok di Siri Mudik

Oleh Cahaya Jais

Antara hal yang diam-diam duduk dalam memori selain wajah emak, adalah tempat. Warung nasi campur paling lazat di Petaling Jaya, tempat pertama jatuh cinta, restoran mamak yang ada nan tandoori dan teh tiga lapis yang enak, tempat kerja toksik yang kita terpaksa hadap demi bayar sewa rumah, dan sekolah yang menghuni ruang paling banyak dalam ingatan.

Dalam kepala kita, ada sepasang kuda laut yang bertanggungjawab menyimpan memori yang dipanggil hipokampus. Tanpa kuda laut ini, kita mungkin cuma ‘seorang’ komputer berkaki dua yang bernafas dengan paru-paru yang hidup sekadar hidup.

Saya percaya, memori datang dengan rasa. Rasa rindu, sayang, sedih, gembira, dan takut. Ada juga yang mendatangkan kesal dan trauma. Apa yang membezakan kita dan ‘seorang’ komputer adalah rasa. Memori dan rasa ini kadangkala datang dengan tiba-tiba; tanpa jangka, tanpa sangka.

Hujung Oktober tahun lalu, ketika menghadiri sebuah acara seni anjuran Freedom A(r)t Home Fest iaitu MAHASURI, tanpa sedar telah membawa saya kembali ke umur 10 tahun, usia ketika ayah hadiahkan saya basikal tayar besar yang bukan pilihan saya. Di acara itu, ada sebaris arca yang dipanggil Siri Mudik. Entah kenapa mata saya tertancap lama di situ dan tiba-tiba hati saya sayu. Ada rindu yang saya tidak pasti tentang apa, tetapi rindunya dekat.

Siri Mudik adalah sebuah harapan runtuh, tetapi masih membahagiakan. Karya ini adalah tentang Mairul Nisa Malek, seorang seniman muda kontemporari yang membancuh kenangan setiap kali ibunya mengajaknya ke Mudik, sebuah pekan kecil yang sering menggembirakannya. Saya tanya, Mudik itu apa. Mairul dengan senyum yang tidak pernah tanggal membalas, “Mudik itu nama panggilan kami untuk sebuah hulu pekan, iaitu Saratok.”

Saya tersentak. Bulu roma saya bangun dan mata saya kabur. Kuda laut di kepala membentang hamparan usang menuju pekan itu. Entah bila kali terakhir saya dengar orang sebut nama pekan itu. Pekan yang memegang banyak ‘pertama kali’ dalam hidup saya. Benarlah kata Osho di dalam buku The Book of Children, ‘the search for paradise is the search for your childhood again’. Saya seperti masuk ke dalam mesin waktu!

Saya kini budak 10 tahun yang sedang berada di depan gerai burger, memesan burger pertama dalam hidup saya; satu burger telur dan dua burger ayam. Memori tidak hanya memegang ingatan, tetapi bau asap daging burger, rasa masin telur, bunyi hon kereta ketika saya terkedek-kedek menyeberang jalan dengan basikal, dan lampu malap dari kedai runcit di sebelah gerai itu.

Saratok membawa saya pulang ke Taman Muhibbah, tempat saya menghabiskan petang bermain ‘rounders’ dengan rakan-rakan. Di sana juga tempat saya mengisi bulan puasa bertadarus di surau kampung berdekatan. Ada Ustazah Zainab yang mukanya sentiasa manis di ingatan, sosok yang mengajar saya tentang baiknya Tuhan.

Saratok adalah tempat saya menjadi besar sebelum usia. Hampir setiap hujung minggu, saya akan kayuh basikal ke pasar berdekatan untuk penuhkan bakul basikal dan tempat duduk belakang dengan senarai barangan dapur yang emak tulis. Tempat saya belajar tawar harga ayam dan ikan. Tempat saya belajar beza sawi dan kailan. Tempat saya bertukar selamat tinggal yang penuh sedu-sedan.

Selepas berpindah dari Saratok, setiap kali saya berbual dengan mereka yang berasal dari Sarawak atau sesiapa yang pernah menjejaki negeri itu, belum ada seorang pun yang pernah ke Saratok. Juga sering saya dengar mereka katakan Saratok itu jauh di pedalaman. Pekannya kecil dan membosankan.

‘‘Saya tinggal di Kampung Perpat, sebuah daerah di Betong. Kampung kami dan sekitar agak lewat menerima perkembangan semasa; elektrik, sumber air dan internet. Internet dan elektrik hanya muncul sekitar tahun 2013. Untuk kami ke pekan-pekan terdekat pula, pengangkutan utama adalah perahu atau bot sebelum wujudnya jalan darat sekitar tahun 2019 dari hutan belakang kampung. Namun, kami masih perlu menggunakan perahu untuk menyeberangi sungai Krian ke kampung kami. Sebab itulah, setiap kali ibu pesan, ‘Isok kito mudik, tido awai’, saya akan sangat gembira kerana kami akan ke pekan Saratok, pekan yang ada banyak kemudahan yang belum kami terima ketika itu,” jelas Mairul.

Benar, Saratok adalah sebuah daerah yang jauh dan dalam, tetapi tidak sejauh Kampung Perpat yang memerlukan purata sekitar enam jam perjalanan menggunakan bot atau perahu. Perjalanan dari lapangan terbang Kuching ke Saratok pada waktu itu mengambil masa sekitar lima ke enam jam di atas jalan yang cuma bersalut batu kerikil. Tetapi adakah Saratok membosankan? Tidak untuk seorang budak kecil yang datang dari Semenanjung ini. Ianya adalah lubuk dopamin buat saya. Tidak juga untuk Mairul Nisa Malek, seorang gadis dari Kampung Perpat yang mengemudi Siri Mudik ini. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Siri Mudik adalah bukti bahawa selain saya, ada insan lain yang turut merayakannya.

Sejak meninggalkan Saratok, saya membesar dengan percaya satu hari nanti saya akan ke sana semula, namun sudah hampir 20 tahun saya masih lagi belum direzekikan menjenguk pekan itu. Ajaibnya memori, dengan hanya merenung sesuatu tanpa sedar telah mengembalikan ingatan saya yang sudah tenggelam. Memori di pekan Saratok tidak hanya datang dengan rindu, malah ketika tulisan ini menuju noktah akhir, air mata saya sudah tiba di hujung senyum.

Terima kasih Mairul Nisa untuk Siri Mudik.


Pengarang :