Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang pada 2 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Perkukuh STEM, TVET dalam hala tuju pendidikan negara

KAJANG, 2 FEB: Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) sedang diperkukuh dalam hala tuju pendidikan negara ketika ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pentadbiran juga menekankan pentaksiran serta kerangka kurikulum 2027 yang mendasari perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Kita dengar semua pandangan berkaitan peperiksaan. Jadi kita minta semua memberikan sepenuh sokongan untuk memperkukuh ekosistem khususnya hala tuju terhadap STEM.

“Ketika ini juga kita melihat peluasan prasekolah yang sedang kita terajui di peringkat kementerian,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyerahan cek cura Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Yu Hua di sini hari ini.

Persembahan murid pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang pada 2 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Sebelum ini, wujud desakan daripada golongan ibu bapa yang mahu peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan semula.

Sementara itu Fadhlina menasihatkan pihak sekolah supaya mengambil kira pandangan termasuk bantahan ibu bapa terhadap penganjuran hari graduasi persekolahan anak-anak.

“Kalau ada bantahan perlu bincang di peringkat sekolah. Ambil kira pandangan itu. Bagaimanapun kita galakkan sambutan sederhana dan paling penting meraikan pelajar,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial kritikan pelakon wanita berhubung penganjuran majlis graduasi sekolah di hotel mewah yang mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM200.

Jelasnya keadaan itu menyebabkan ibu bapa terpaksa membayar kerana tidak mahu anak mereka berasa tertekan serta malu disebabkan tidak menghadiri majlis berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menunjukkan kaligrafi Cina pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang pada 2 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :