Calon Pakatan Harapan DUN Bukit Melawati Thiban Subbramaniam ketika sidang media Tekad Thiban sempena pilihan raya negeri di pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor pada 9 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penyelaras DUN Bukit Malawati atasi segera isu sampah 13 kampung

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 15 FEB: Isu sampah di 13 kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Malawati diatasi segera secara berperingkat.

Penyelaras S Thiban berkata pihaknya menerima banyak aduan berkenaan masalah kutipan dan pembuangan sampah serta pembakaran terbuka.

Penyelaras DUN Bukit Melawati S Thiban membuat tinjauan ke sebuah kampung tradisi di DUN Bukit Malawati baru-baru ini. Foto S Thiban

“Saya sedang meneliti beberapa tindakan segera termasuk perkenalkan sistem pengurusan sampah kampung yang lebih efisien setelah berunding dengan semua pihak. Kita akan fokus kepada kesejahteraan kampung.

“Aktiviti gotong-royong bersama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam perancangan kami selain menyediakan perkhidmatan kutipan sampah berjadual,” katanya ketika dihubungi.

Berkenaan isu parit di Kampung Kuantan, Thiban menjelaskan masalah infra itu berlaku sejak sekian lama.

“Hasil tinjauan mendapati parit bersebelahan jalan sudah lama dalam keadaan begitu. Kita akan cuba sedaya upaya untuk melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Pam air mudah alih juga akan dibeli dan disimpan untuk kegunaan kecemasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Thiban menjemput usahawan di Parlimen Kuala Selangor menyertai majlis minum petang taklimat pembiayaan dan Tekun Nasional di ABZ Garden Hall, One Plaza Kuala Selangor pada 18 Februari ini.


Pengarang :