Pelajar menunjukkan sampul sumbangan diterima dalam Program Kembali Ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Dewan Bandar Baru MPKS, Kuala Selangor pada 22 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Permohonan bantuan kembali ke sekolah MBI dibuka hingga 19 Mac

SHAH ALAM, 21 FEB: Permohonan bantuan persekolahan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dibuka sehingga 19 Mac depan.

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporatnya berkata permohonan boleh dibuat di pejabat wakil rakyat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Permohonan bantuan persekolahan RM100 dibuka semalam sehingga 19 Mac. Pejabat DUN akan mengumpul nama penerima bantuan dan diserahkan kepada MBI untuk kelulusan.

“Kuota bantuan adalah seramai 16,800 penerima bagi 56 DUN yang mana setiap kawasan 300 pelajar. Bantuan diserahkan selepas tarikh tutup permohonan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Selangorkini.

Baru-baru ini, MBI memaklumkan RM1.7 juta diperuntuk kepada 16,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk sesi persekolahan tahun ini.

Tahun lalu, anak syarikat negeri itu memperuntuk lebih RM10 juta bagi memperkasa sektor pendidikan merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor, bantuan sekolah dan sumbangan prasarana.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemerbadanan itu menyalur bantuan RM25.5 juta kepada agensi pendidikan antara 2021 hingga tahun lalu.


Pengarang :