Sebahagian tinggalan terowong rahsia di Bukit Nanas yang ditemui kontraktor lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2013.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Gali terowong di Bukit Nanas angkara perang rebut bijih timah

Terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah pada abad ke-18, lembangan Sungai Klang menjadi rebutan dua pembesar Melayu hingga mencetuskan perang saudara.

Persaingan yang berlarutan antara 1866 hingga 1874 membuka ruang kepada penjajah British bertapak seterusnya memperkenal Sistem Residen di Selangor.

Namun, Klang terus makmur dan muncul sebagai pelabuhan paling pesat selain lokasi bermulanya laluan kereta api pertama di negeri ini.

Dibina menghadap Sungai Klang pada 1866, Kota Raja Mahadi menjadi kubu pembesar itu dalam perseteruannya dengan Raja Abdullah bagi merebut hak pelombongan bijih timah.

Perselisihan mereka dikatakan bermula apabila Raja Abdullah bekerjasama dengan William Henry Macleod Read (Pengerusi Dewan Perniagaan Selat) dan Tan Kim Ching (usahawan Singapura) pada 1866 untuk pajakan perlombongan bijih timah.

Berdasarkan perjanjian itu, Raja Mahadi perlu membayar cukai menyebabkan beliau yang memiliki status tinggi dalam Selangor tidak berpuas hati. Lebih-lebih lagi, keistimewaan dan elaunnya ditarik balik.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Ahmad Farhan Abdullah @ Zakaria, Raja Abdullah, usahawan bijih timah terkenal, dikurnia Sultan Selangor Sultan Muhammad jawatan Orang Besar Daerah Klang.

Sebelumnya, ayahanda Raja Mahadi iaitu Raja Suleiman menyandang jawatan tersebut pada 1846. Kurniaan kepada Raja Abdullah dibuat berikutan Raja Suleiman dianggap kurang cekap menguruskan dan mentadbir Klang.

Krisis tercetus apabila Raja Abdullah selaku Orang Besar Daerah Klang mengabai perselisihan faham antara masyarakat Batu Bara dengan Penghulu Mukim Kuala Lumpur Dato’ Yaseh. Ini mendorong penduduk Batu Bara mendapatkan pertolongan Raja Mahadi.

“Peristiwa ini menjadikan titik tolak Raja Mahadi untuk merampas jawatan Orang Besar Daerah Klang daripada Raja Abdullah,” katanya yang berkecimpung sebagai sejarawan hampir 20 tahun kepada Selangorkini pada 25 Januari.

Menurut Dr Ahmad lagi, perebutan kuasa itu berikutan jawatan Orang Besar Daerah Klang dan Orang Besar Daerah Selangor tidak dibuat mengikut sistem warisan seperti amalan di Bernam, Lukut, Sepang dan Sungai Raya.

Apabila kemenangan berpihak kepada Raja Mahadi pada 1867, jawatan Orang Besar Daerah Klang menjadi miliknya. Beliau juga mendapat pengiktirafan Sultan Abdul Samad, pengganti Sultan Muhammad.

Raja Abdullah pula melantik Tengku Dhiauddin (Tengku Kudin) untuk menentang Raja Mahadi. Namun, kehadiran pembesar daripada Kedah itu untuk memerintah beberapa daerah tidak disenangi ramai pembesar Selangor.

Situasi itu menyebabkan mereka berpihak kepada Raja Mahadi untuk menentang Tengku Kudin. Perang Kelang mula merebak ke kawasan lain termasuk mukim Kuala Lumpur. Raja Mahadi dan sekutunya yang berkubu di Bukit Nanas diserang Tengku Kudin pada 1870.

Raja Asal, sekutu Raja Mahadi, ada menanam pokok nanas untuk menghalang musuh yang berkaki ayam. Namun, Raja Mahadi tewas menyebabkan mereka terpaksa berundur dengan menggali terowong rahsia di Bukit Nanas hingga ke Sungai Klang.

Sebahagian tinggalan itu ditemui kontraktor lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika membaik pulih cerun runtuh Bukit Nanas pada 2013. Terowong sepanjang 10 meter itu bersebelahan bangunan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan, Jalan Ampang.

Perang Klang terus berpanjangan apabila Tengku Kudin melakukan serangan kedua hingga menyebabkan Raja Mahadi kalah teruk pada 1873.

Perang Klang berakhir setahun kemudian apabila Tengku Kudin mendapatkan bantuan British yang kemudian menempatkan Residen Selangor J.G. Davidson berkuat kuasa 20 Januari 1875.

“Situasi itu sekali gus menyebabkan Selangor dijajah British dengan menggunakan Perjanjian Pangkor bertarikh 20 Januari 1874 sebagai asas pentadbiran,” kata Dr Ahmad.


Pengarang :