Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tiga, kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Ir Kamarzan (empat, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Galeri Jualan Hartanah Antara Gapi dan rumah teres dua tingkat, Ixora pada 17 Feb 2024. Foto PKNS
AGENSISELANGOR

PKNS lancar 90 unit rumah teres dua tingkat di Antara Gapi

SHAH ALAM, 20 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan projek pembinaan 90 unit rumah teres dua tingkat di Antara Gapi, Serendah Sabtu lalu.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata perumahan Ixora dibina bercirikan reka bentuk moden kontemporari berlatar kehijauan landskap dengan jualan bermula dari RM588,000 sehingga RM891,000.

“Ixora yang dijangka siap pembinaannya pada 2026 dibina di atas kawasan seluas 9.01 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57 juta.

“Dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air, rumah ini memiliki tempat letak kereta yang lebar dan luas serta kemudahan rekreasi yang dihiasi dengan landskap menarik,” kata Dato’ Mahmud Abbas dalam kenyataan.

Lakaran rumah teres dua tingkat, Ixora yang dibina di Antara Gapi, Serendah. Foto PKNS

Menurut beliau, perumahan ini juga mudah diakses melalui Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Rawang Bypass, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) dan Jalan Persekutuan Rawang–Tanjung Malim.

“Selain itu, jarak perjalanan ke Kuala Lumpur hanyalah sejauh 36 kilometer (km) dan ke Pekan Tanjung Malim pula sejauh 15km,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh kunjungi Galeri Jualan Hartanah Antara Gapi atau hubungi eksekutif jualan PKNS di talian 03-5022 0188 atau WhatsApp (010-9280 187).

Selain itu, layari laman sesawang rasmi http://www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut tentang projek hartanah PKNS.


Pengarang :