Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali (dua, kiri) menunjukkan dokumen persefahaman (MoU) bagi pembangunan projek pertanian berdampak tinggi dan penternakan moden sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS hasrat bangun projek tani dampak tinggi, perkukuh agenda sekuriti makanan

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedang mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi pembangunan projek pertanian berdampak tinggi dan penternakan moden.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata projek dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selaras usaha meningkatkan kadar sara diri komoditi makanan negeri ini.

Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jalinan strategik itu turut berperanan memperkukuh agenda sekuriti makanan bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

“Peruntukan yang akan disalurkan KPKM berjumlah RM24 juta melibatkan beberapa projek pertanian yang telah pun bermula sejak awal tahun ini.

“Antaranya projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan dan Rawang berkeluasan 300 ekar dan projek pembangunan ladang lembu tenusu di ladang PKPS Sungai Tengi.

“Ia termasuk projek tanaman kontan dan bernilai tinggi di Selangor Fruit Valley dan projek gedung makanan ehsan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PKPS dan KPKM sempena Program Madani Rakyat Zon Tengah di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini semalam.

Pemeteraian MoU kedua-dua pihak itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata KPKM juga akan berperanan sebagai pembiaya program serta menyediakan bantuan kepakaran teknikal, manakala PKPS akan menyediakan tanah serta peserta bagi kesemua program ini.

“Kedua-dua organisasi juga akan memperkemaskan peranan dalam rantaian bekalan bagi memastikan produk dapat sampai kepada rakyat pada harga berpatutan,” katanya.


Pengarang :