Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San (tengah) bersama peserta program latihan pemantapan pengurusan dan komunikasi anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar di Hotel Empire, Subang pada 22 Februari 2024. Foto Saifuddin Shafi Muhammad
AGENSISELANGOR

100 pegawai pejabat wakil rakyat, penyelaras DUN sertai latihan mantap pengurusan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 FEB: Seramai 100 pegawai daripada 34 pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) dan 14 pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai program latihan pemantapan pengurusan dan komunikasi anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar di Hotel Empire Subang pada 22 Februari.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad berkata program itu bertujuan menambah baik pengurusan dan komunikasi pegawai berkenaan sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan pejabat ADN dan penyelaras DUN.

“Kita mengambil maklum balas melalui sesi turun padang yang dijalankan sebelum ini dan ia menjadi pencetus idea pelaksanaan program bagi memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat.

“Program siri pertama ini juga menerima maklum balas positif daripada peserta dan kita akan teruskan untuk sesi seterusnya membabitkan latihan kemahiran antaranya kandungan media sosial, kesesuaian kapsyen pada muat naik kandungan bagi menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Program julung kali dianjurkan itu disempurnakan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Ashaaree dan Pengarang Kumpulan Fathi Aris Omar selaku panel.


Pengarang :