AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki disyaki pengedar dadah, rampas 2 kilogram ganja

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas kira-kira dua kilogram dadah jenis ganja dan 100 pil erimin 5 dianggarkan bernilai RM7,346, di kawasan sebuah kondominium di Wangsa Maju, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata kesemua dadah ditemukan di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak enam bulan lepas di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima. Pihak polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti punca bekalan dadah diperolehi.

Suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman tujuh hari sehingga 28 Feb di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata polis turut membuat sitaan terhadap sebuah kereta dianggarkan bernilai RM43,000 dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah kira-kira RM50,404.

Katanya jumlah keseluruhan rampasan dadah itu boleh digunakan seramai 2,106 orang penagih dalam satu-satu masa.

– BERNAMA


Pengarang :