Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey ketika sidang media selepas walkabout Pemeriksaan Pematuhan Skim Harga Maksimum Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Pasaraya NSK Seri Kembangan, Subang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Portal Spot-i KPDN mudahkan pengguna buat aduan, semak harga barang

SUBANG JAYA, 6 FEB: Portal Spot-i Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung harga barang dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar.

Pengarah KPDN negeri Mohd Zuhairi Mat Radey berkata portal berkenaan juga membolehkan pengguna mengakses maklumat produk serta harga barangan keperluan dan kawalan.

“Orang ramai hanya perlu imbas kod QR menggunakan telefon pintar masing-masing sebelum memasuki platform ini untuk aduan atau informasi.

“Peniaga juga diberikan poster kod QR supaya mereka boleh akses maklumat berkaitan undang-undang dan barangan harga kawalan. Tiada alasan untuk mereka tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Walkabout Pemeriksaan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Raya NSK Seri Kembangan, Puchong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zuhairy turut menyasarkan mengedarkan 200 poster kod QR sehari di seluruh negeri termasuk kedai runcit sepanjang tempoh sembilan hari pelaksanaan skim SHMMP Tahun Baharu Cina.

“Selangor merupakan perintis platform ini sebelum dikuatkuasakan di seluruh negara. Kami akan menggunakan pendekatan secara ‘Rahmah’ bagi pemeriksaan terhadap peniaga jika menerima aduan daripada pengguna.

“Sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan pertama, nasihat akan diberikan terlebih dahulu. Sekiranya peniaga telah melakukan kesalahan kedua, tindakan akan diambil,” katanya.


Pengarang :