BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pusat perdagangan timah ‘putih melepak’ masyarakat Melayu Selangor

Di pesisiran Selangor hari ini, pusat masyarakat Melayu terpenting sejak zaman kesultanan Melaka abad ke-15 ialah Klang.

Walaupun sumber-sumber Bugis zaman berkenaan tidak menyebut namanya, terdapat seorang ketua di sana yang berada di bawah naungan kesultanan Johor, bernama To’ Engku Klang.

Pemegang gelaran silam itu memberitahu orientalis Richard Olaf Winstedt pada tahun 1930-an bahawa para penyandang gelaran yang sama sebelumnya menegaskan kemandirian mereka daripada Raja Lumu sehinggalah baginda ditabalkan sebagai Sultan Salehuddin.

Pendatang dari Sumatera yang tidak dicatatkan penghijrahan mereka ke pedalaman Selangor mungkin juga termasuk orang Minangkabau, tetapi kebanyakannya adalah kelompok yang dikenali umum di Tanah Melayu sebagai “Rawa” atau dalam latar khususnya sebagai “Mandailing” atau “Batu Bara”; John Anderson yang menghuraikan penerokaan ini hanya menyebut mereka sebagai “Penghuni.”

Angka mereka cukup kabur. Ketika lawatan pegawai British John Anderson pada tahun 1818, berlaku penghijrahan beramai-ramai akibat ancaman serangan Siam, maka anggaran jumlah penduduk Selangor yang dibuatnya antara 1,000 hingga 1,500, sebenarnya sangat rendah’”; apabila dijumlahkan semua penduduk yang beliau nyatakan berdasarkan setiap pekan dan perkampungan (barangkali pada waktu biasa) angkanya mencecah kira-kira 5,000, manakala Newbold yang membuat catatan pada tahun 1839 sewaktu keadaan di Selangor telah pulih mencatatkan angka 12,000.

Ulasan berikut, berasaskan terutamanya catatan Anderson pada tahun 1824, memerihalkan jumlah penduduk dari utara ke selatan melalui lembah-lembah di Selangor.

Bernam berada di bahagian paling utara di antara pusat-pusat utama pesisiran Selangor.

Anderson menganggarkan penduduk Bernam sebanyak 1,000 orang. Raja Muda tinggal di sini, barangkali memikul tugas dan peranan melindungi sempadan antara Selangor dan Perak yang sedang dalam pertikaian.

Kawasan rata berlumpur di muara hanya dapat dicapai oleh kapal kecil, namun ia merupakan pusat perdagangan yang “dihargai kerana rotan yang dieksport dalam jumlah besar dan kadangkala timah yang dibawa melalui terusan-terusan kecil dari negeri Perak.”

Penduduk pekan Kuala Selangor berjumlah 400 sahaja; pada suatu masa, kapal-kapal bermuatan 250 tan dapat memasuki sungai.

Namun, semasa menahan serangan Belanda pada tahun 1784, “para penduduk melempar banyak batu besar, menutup laluan masuk sungai” dan, pada tahun 1824, halangan tersebut menghalang kemasukan kapal selain “kapal-kapal kecil.”

Anderson menyenaraikan tidak kurang 28 petempatan kecil di sepanjang sungai Selangor (dan cawang-cawangnya) dari kawasan sungai sehingga ke daratan di kaki bukit yang mempunyai laluan ke Pahang.

Antara perkampungan dalam senarainya adalah “Kataran, tempat banyak timah diperoleh. “Mungkin terlintas pada fikiran kita, inilah tempatnya Swettenham menyaksikan lombong gergasi tadi.

Timah eksport yang dibawa ke Kuala Selangor mencecah 2,000 pikul setahun.

Timah Selangor di pasaran China, jongkong seberat satu kati “putih melepak dan murni” dijual dengan potongan harga berbanding harga timah yang lebih terkenal dari lombong Bangka dan Phuket (Junk Ceylon).

Selain lembah sungai Selangor, pusat utama penghasilan timah terletak di lembah Klang dan Lukut.

Politik rumit

Terdapat 23 perkampungan di lembah Klang, tetapi hanya lapan, di kawasan sekitar sungai di pekan Klang, yang menghasilkan timah.

Kadangkala Sultan bersemayam di pekan Klang yang “dilindungi beberapa meriam” dan sebelum penduduknya berselerak akibat ancaman serangan Siam, Klang berpenduduk “kira-kira 1,500.”

Di selatan Klang terletaknya Kuala Langat yang kemudiannya menjadi ibu kota diraja Sultan Abdul Samad; pada tahun 1818, Kuala Langat berpenduduk kira-kira 500 orang dan menghasilkan timah dan rotan.

Lukut (terletak antara Sepang dan Port Dickson hari ini) “kebelakangan ini menjadi tempat yang bagus bagi timah,” mempunyai sekitar 1,000 penduduk, 200 daripadanya orang Cina.

Sultan Ibrahim turut mengambil petempatan utama di muara sungai Linggi sebagai haknya; di sini penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk sejumlah orang Bugis.

Enam perkampungan pertama mempunyai penghulu Melayu, menandakan kampung-kampung ini telah diteroka lebih awal berbanding kampung lain yang tersenarai selepasnya dan memiliki pertalian lebih rapat dengan ibu kota diraja.

Daerah-daerah lain selepas Kuala Langat yang dapat dikenalpasti, misalnya Tanjung Rhu, pada hari ini tergolong sebagai kawasan pesisir pantai Negeri Sembilan dan memang sejak dulu lagi pengaruh Selangor lemah di situ.

Penduduk Selangor terlalu sedikit untuk mendukung tatatingkat politik yang rumit.

Lagi pula adat Bugis yang berpegang pada aturan kekuasaan longgar dan terpencar agak asing berbanding kerajaan Melayu yang mempunyai pegawai-pegawai kanan kerajaan (Bendahara, Temenggong dan lain-lain) dan darjah-darjah ketua berbeza, empat orang ketua pangkat pertama, lapan orang pangkat kedua dan enam belas orang pangkat ketiga seperti yang didapati di Perak.

Jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan selepas Sultan Selangor adalah Raja Muda, iaitu jawatan yang disandang oleh adinda lelaki atau putera Sultan, kadangkala bakal pewaris takhta.

Sekiranya ada kerabat diraja lain dalam kalangan mereka yang memiliki pertalian darah hanya sejalur (jalur ayah atau ibu) dengan sultan dijadikan pembantu pentadbir, jawatannya diiktiraf dengan gelaran Tengku Panglima Besar (atau Raja).

Beberapa Orang Besar ditugaskan di daerah-daerah jauh dari ibu kota. Anggota tentera Kompeni Hindia Timur Inggeris di Melaka Thomas James Newbold menyenaraikan (pada tahun 1830-an) mereka sebagai Penggawa Permatang dan Penggawa Tua yang bertanggungjawab ke atas daerah muara dan pinggir pantai.

Penghulu Aru bertanggungjawab ke atas kawasan pedalaman, kecuali Klang, manakala Orang Kaya Kechil bertanggungjawab ke atas lembah Klang.

Petikan muka surat 29-33 buku Sejarah Selangor, 1766-1939 terjemahan buku A History of Selangor, 1766-1939 tulisan JM Gullick. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau toko Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. Jadual pada muka surat 31 dan peta (32) tidak disertakan dalam tulisan di atas.


Pengarang :