Pengunjung membuat pemeriksaan darah pada majlis penutup Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Rakyat manfaat Selangor Saring ketahui tahap kesihatan terkini

KUALA LANGAT, 17 FEB: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri yang menjelajah ke serata Dewan Undangan Negeri (DUN) membantu rakyat mengetahui tahap kesihatan terkini.

Suri rumah Nurfarrahin Abdul Rahim, 33, memanfaatkan Selangor Saring yang membuka tirainya di DUN Sijangkang hari ini untuk memeriksa matanya yang mengalami rabun kronik.

Nurfarrahin Abdul Rahim, 33

“Saya pernah survey untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan mata di klinik dengan alatan canggih seperti disediakan di sini tetapi ia mencecah ribuan ringgit.

“Jadi bila tahu Selangor Saring ada pemeriksaan mata percuma terus saya daftar untuk saringan,” katanya.

Sementara itu, G Santha Kumari, 36, berkata Selangor Saring wajar dimanfaatkan terutama generasi muda bagi mengesan penyakit diperingkat awal.

G Santha Kumari, 36

“Saya paling berminat untuk membuat saringan awal barah terutama berkaitan wanita seperti barah pangkal rahim dan payudara kerana di luar bayarannya paling murah RM300.

“Memang sangat rugi jika saya lepaskan peluang ini. Jadi mereka yang ada kesempatan datanglah buat saringan,” katanya.

Terdahulu EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melancarkan program Selangor Saring yang dijangka memanfaatkan kira-kira 20,000 penduduk menerusi peruntukan RM3.2 juta.

Tahun ini, program saringan kesihatan percuma dijadual menjelajah ke 56 DUN secara berperingkat bermula di DUN Sijangkang hari ini sempena Karnival Prihatin@Kuala Langat 2024.

Pemeriksaan kesihatan percuma ini menawarkan saringan asas antaraya pemeriksaan fizikal, pengambilan sampel darah dan air kencing selain saringan awal barah bagi mengesan barah kolorektal, prostat, pangkal rahim dan payudara serta saringan tambahan merangkumi pemeriksaan gigi, mata, telinga dan fisioterapi.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin menyantuni pengunjung selepas merasmikan majlis penutup Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :