Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggaul yee sang bersama tetamu jemputan sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre pada 24 Februari 2024. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDANASIONAL

Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pamer semangat muhibbah, disertai pelbagai kaum

AMPANG JAYA, 25 FEB: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre, di sini malam tadi meriah dengan kehadiran pelbagai kaum dan usia.

Pesara Zainal Abidin Awang Chik, 71, meraikan rumah terbuka itu dengan memakai baju bertemakan Tahun Baharu Cina.

“Baju ini saya beli sejak tahun lepas lagi dan kebetulan masih muat saya pilih untuk pakai hari ini bersesuaian dengan sambutan Tahun Baharu Cina.


Pesara Zainal Abidin Awang Chik, 71, turut meraikan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre, Ampang pada 24 Februari 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Program melibatkan semua kaum seperti ini amat bagus dan ia dapat merapatkan jurang masyarakat meski berbeza bangsa dan agama,” katanya ketika ditemui semalam.

Kakitangan swasta G Kavitha, 32, tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir meraikan majlis sambutan perayaan anjuran negeri mahupun wakil rakyat.

“Memang setiap tahun saya bawa keluarga atau rakan-rakan ke majlis begini. Deepavali tahun lepas pun kita pergi, seronok dapat berjumpa masyarakat berbilang kaum,” katanya.


Kakitangan swasta G Kavitha, 32, memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre, Ampang pada 24 Februari 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Sementara itu, warga emas Goh Kiat Eng, 72, hadir bersama suami, anak dan cucu mengakui kali pertama berkunjung ke program sambutan Tahun Baharu Cina itu.

“Bagus acara seperti ini diadakan dapat lihat semangat muhibbah seperti ini libat kaum Cina, Melayu dan India. Semoga inisiatif ini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,500 tetamu hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina itu yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.


Warga emas Goh Kiat Eng, 72, ditemui di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak di Melawati Convention Centre, Ampang pada 24 Februari 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pengarang :