Orang ramai mengambil peluang menjalani saringan kesihatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri melalui Selcare pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare tawar khidmat saringan kesihatan percuma di program Madani Rakyat

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Saringan kesihatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri melalui Selcare pada Program Madani Rakyat Zon Tengah menarik minat pengunjung untuk menjalani proses itu.

Suri rumah, Husna Razali, 29, dari Tanjong Karang menyifatkan pelbagai jenis saringan disediakan memudahkan orang ramai tanpa perlu ke klinik yang mengambil masa lama selain menjimatkan kos.

“Di sini pelbagai jenis saringan kesihatan ada. Saya berpeluang memeriksa mata, telinga, fizikal serta ambil sampel darah. Inisiatif ini wajar dipuji kerana rakyat tidak dikenakan apa-apa bayaran, apatah lagi prosesnya cepat.

Suri rumah, Husna Razali, 29, dari Tanjong Karang ditemui dalam Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Tambahan pula, saya sudah lama tidak buat pemeriksaan kesihatan. Bimbang juga jika ada penyakit yang kita tidak tahu, jadi lebih baik buat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Asyraf Alias, 25, pula menyifatkan inisiatif itu membantu rakyat khususnya yang kurang berkemampuan untuk mengesan risiko penyakit lebih awal.

“Sekarang kos untuk buat pemeriksaan di klinik swasta dan hospital agak mahal. Mereka yang susah sudah tentu tidak mampu menanggung bil tersebut, jadi apa yang disediakan di sini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Asyraf Alias, 25, ditemui dalam Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Paling penting kita boleh tahu tahap kesihatan kita dan kenal pasti penyakit yang ada,” katanya.

Pada 2022, Kerajaan Selangor memperkenal Selangor Saring bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan Selangor Saring.

Ia membabitkan saringan asas antaranya pemeriksaan fizikal, pengambilan sampel darah dan air kencing selain saringan awal barah bagi mengesan barah kolorektal, prostat, pangkal rahim dan payudara.

Saringan tambahan adalah pemeriksaan gigi, mata, telinga dan fisioterapi.

Orang ramai menjalani saringan kesihatan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri melalui Selcare pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :