Petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya memantau operasi pemadaman kebakaran di hutan gambut di Kompartment 99 Hutan Simpan Raja Musa, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 15 September 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

Selangor antara lima negeri berisiko berlaku kebakaran hutan tanah gambut

KOTA BHARU, 27 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 201,000 hektar tanah gambut yang dimajukan di lima negeri sebagai berisiko berlaku kebakaran hutan sekiranya pembakaran terbuka dilakukan ketika cuaca panas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata negeri itu ialah Selangor, Johor, Sarawak, Pahang (Rompin, Pekan, Kuantan) dan Sabah (Sipitang, Beaufort).

“JBPM telah koordinasi dengan beberapa agensi yang terlibat sebagai langkah untuk tangani sekiranya berlakunya pembakaran hutan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar, (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains.

“Kita turut berkomunikasi dengan pihak ladang yang dikawal selia oleh pejabat daerah untuk mengekalkan paras air mengikut sukatan ditetapkan, selain meminta anggota melakukan rondaan khususnya di kawasan tanah gambut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini hari ini.

Nor Hisham berkata berdasarkan perangkaan jenis kebakaran di negara ini, pembakaran hutan merekodkan peningkatan pada tahun lalu dengan 1,291 kes berbanding 692 kes pada 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 80 aduan pelbagai kesalahan termasuk jenayah diterima pihaknya melibatkan pegawai, anggota dan petugas lain sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kesalahan membabitkan salah laku merekodkan 52 kes, skandal atau seksual dan salah guna kuasa masing-masing tujuh kes, rasuah dan pentadbiran masing-masing empat kes, pengurusan (3), penyelewengan (2) dan aduan kes kewangan (1).

“Berdasarkan jumlah aduan yang diterima dan disiasat pula 35 aduan berasas, 34 aduan tidak berasas, tujuh aduan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) dan empat aduan masih dalam tindakan.

“Selain itu, daripada 35 aduan yang berasas, tujuh kes disyorkan tindakan tatatertib, 19 kes diberikan Surat Peringatan atau Teguran, lapan kes disyorkan tindakan penambahbaikan dan satu kes dirujuk kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :