Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika sidang media bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 5 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor-Kuala Lumpur bahagi kawasan senggara Sungai Klang

SHAH ALAM, 5 FEB: Proses pembahagian kawasan di antara Selangor dan Kuala Lumpur bagi kerja penyelenggaraan projek rawatan air Sungai Klang sedang dijalankan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata satu perjanjian akan dimuktamad dalam terdekat bagi menumpukan aspek urus tadbir di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selepas tandatangan (perjanjian) dibuat ia akan menumpukan penyelengaraan di lokaliti yang akan dimuktamadkan membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Pembahagian ini penting untuk memastikan supaya tidak berlakunya ‘loops hold’ ataupun pertindanan, kawasan tanah yang tidak dipedulikan atau kawasan yang tidak mempunyai pembahagian jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.

Terdahulu, Amirudin dan Zaliha mengadakan perbincangan mengenai penyelesaian isu persempadanan semula Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan 19 kawasan.

Beliau berkata satu memorandum persefahaman akan ditandatangi bagi menumpu penyelesaian aspek pembayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh PBT.


Pengarang :