EXCO Pertanian Izham Hashim bergambar bersama penerima selepas menyampaikan Baja Rahmah pada majlis pelancaran Baja Rahmah peringkat Selangor di Dewan MPAJ Pandan Indah Ampang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri pertama terima Baja Rahmah libat 500 petani terpilih

AMPANG JAYA, 6 FEB: Selangor menjadi negeri pertama menerima bantuan Baja Rahmah membabitkan edaran 500 kampit baja organik kepada petani terpilih seluruh negeri.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata baja sumbangan Yayasan Rahmah Malaysia bertujuan meringankan beban petani yang terjejas akibat kenaikan mendadak harga baja.

“Sekarang ini dengan kenaikan harga baja yang melampau, ada petani yang terpaksa potong bajet mereka untuk dapatkan baja dan ini menyebabkan tanaman menjadi kurang subur.

“Kerajaan Negeri pun banyak buat peruntukan dana untuk beri baja percuma atau potongan harga supaya petani boleh dapatkan baja berkualiti dan tingkatkan hasil tanaman,” katanya.

Terdahulu, Izham menyempurnakan pelancaran Baja Rahmah peringkat negeri di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah di sini, hari ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menandatangani plak pelancaran ketika melancarkan Baja Rahmah peringkat Selangor di Dewan MPAJ Pandan Indah Ampang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Rahmah Malaysia berkata Selangor dipilih sebagai negeri pertama kerana memiliki pasaran pertanian tinggi di Malaysia.

Menurut Mohd Bukhari Bachok, inisiatif itu akan diteruskan ke negeri lain membabitkan edaran 5,000 kampit baja organik kepada petani terpilih seluruh negara.

“Baja yang kita bagi sesuai untuk semua jenis tanaman. Ia diproses dengan cara moden terbaik bagi membantu pekebun meningkatkan hasil tanaman masing-masing,” katanya.


Pengarang :