Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Permaisuri zahir dukacita, sifatkan Abdul Taib tokoh berjasa besar

SHAH ALAM, 21 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh waris dan keluarga Allahyarham.

Baginda menyifatkan Allahyarham yang juga mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai seorang tokoh yang besar jasanya kepada Sarawak dan Malaysia.

“Allahyarham juga telah memberikan komitmen dan kerjasama penuh semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja sepanjang berkhidmat sebagai TYT.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan bersama-sama para syuhada dan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Tun Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.

Beliau secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.

Setelah hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Abdul Taib digantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan lepas.


Pengarang :