Polis menjalankan siasatan selepas tiga premis kerajaan menerima e-mel ancaman bom pada 12 Februari 2024. Foto Facebook Polis Daerah Johor Bahru Selatan
AGENDAJENAYAH

Tiga premis kerajaan terima e-mel ancaman bom daripada individu sama

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Tiga premis kerajaan di Johor Bahru Selatan disahkan menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom daripada individu sama, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata e-mel yang diterima ketiga-tiga premis kerajaan itu dipercayai berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata satu daripada tiga premis kerajaan yang menerima e-mel tersebut adalah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum di sini.

“Setakat ini di daerah Johor Bahru kami menerima tiga laporan polis dari premis kerajaan yang mengatakan mereka menerima e-mel sama.

“Pengirim e-mel tersebut tidak spesifik kepada satu tempat sahaja, sebaliknya secara umum,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan keselamatan di Menara MBJB di sini hari ini.

Terdahulu, Raub dilaporkan berkata pihaknya melakukan pemeriksaan di kesemua 22 tingkat Menara MBJB dan tidak mengesan objek mencurigakan.

– BERNAMA


Pengarang :