Aksi gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10 meter platform seirama Grand Prix Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil pada 27 November 2022. BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Status Pandelela, Dhabitah dalam program ‘Road to Gold’ diputus hujung bulan ini

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Teka teki mengenai kedudukan dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam senarai program ‘Road to Gold’ (RTG) berkemungkinan akan diketahui pada mesyuarat jawatankuasa program itu akhir bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau tidak mempunyai jawapan spesifik berhubung persoalan itu sekali gus berharap semua pihak dapat menunggu keputusan yang akan dimuktamadkan nanti.

“Saya tahu ramai hendak bertanyakan mengenai sukan terjun, namun perlu menunggu hingga mesyuarat RTG. Pastinya kecewa (prestasi skuad terjun) tetapi saya nak dengar dahulu penjelasan daripada persatuan sukan, jurulatih dan pengarah teknikal mereka.

“Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengatur untuk bertemu dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad kepada pemain golf negara, Ervin Chang di sini hari ini.

Pandelela dan Nur Dhabitah merupakan atlet terkini dalam program RTG yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas aksi mengecewakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lepas.

Beliau dalam masa sama memaklumkan bukan sesuatu yang mudah untuk membuat sebarang keputusan terutama dalam portfolio sukan memandangkan ia membabitkan prestasi seseorang atlet.

“Dalam ucapan saya tadi ia merujuk kepada portfolio belia dan sukan. Belia perlu diberikan sokongan supaya peluang kedua itu wujud buat mereka, namun untuk sukan ia berasaskan prestasi kerana kita tahu dalam perjalanan seseorang atlet, ada masa mereka naik dan ada masa turun.

“Ada atlet yang jatuh perlu bangun semula. Ia bukan keputusan menteri sahaja saya perlu mendapatkan bantuan pakar,” katanya.

Hannah berkata pihaknya dalam masa sama akan membincangkan tentang kriteria atlet bagi dipilih menyertai Program RTG ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 pada mesyuarat jawatankuasa tersebut.

— BERNAMA


Pengarang :