Rombongan kanak – kanak tadika ketika cuti sekolah di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor fokus pelancongan makanan, pastikan negeri kekal jadi pilihan

SERDANG, 14 FEB: Tourism Selangor kini memfokus pada industri pelancongan makanan bagi memastikan negeri ini kekal menjadi destinasi pilihan pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata ini kerana, sektor itu semakin mendapat sambutan terutama pada musim cuti sekolah.

“Kita mahu fokus kepada pelancongan makanan kerana setiap daerah mempunyai keunikan makanan tersendiri seperti sate terkenal di Kajang,” katanya ketika ditemui.

Pekerja ladang Farm Fresh memberi penerangan kepada pengamal media ketika lawatan Tourism Selangor bersama pengamal media di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Azrul Shah berkata Tourism Selangor juga menyediakan portal selangor.travel bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat mengenai pelancongan makanan di negeri ini.

“Tourism Selangor sebagai agensi promosi pelancongan sentiasa membantu pengusaha makanan dalam menaikkan nama kedai dalam masa sama mementingkan kebersihan dan keselamatan pengunjung.

“Mungkin ada sesetengah lokasi makanan popular di media sosial tetapi kita tidak dihebahkan kerana tidak menepati piawaian. Mereka boleh hubungi Tourism Selangor untuk membuat hebahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Farm Fresh Berhad Faris Zainal berkata pihaknya sentiasa terbuka bekerjasama dengan Tourism Selangor kerana ladang itu sememangnya lokasi strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bergambar bersama pengamal media ketika lawatan di Ladang Farm Fresh, Serdang pada 14 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini, syarikat beroperasi sendiri dengan mencari pelancong menerusi media sosial. Dengan kerjasama Tourism Selangor dan pengusaha belon udara panas kita dapat sediakan pakej-pakej menarik sekali gus meningkatkan jumlah pelancong,” katanya.

Terdahulu, Tourism Selangor membawa pengamal media merasai pengalaman menaiki belon udara panas di ladang Farm Fresh di Serdang. Pengamal media turut dibawa mengunjungi Taman Herba dan Ladang Kelulut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).


Pengarang :