Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di UIS pada 31 Januari 2024. Foto Facebook UIS
AGENSISELANGOR

UIS meterai MoU dengan agensi negeri, peluang pelajar jalani latihan industri

SHAH ALAM, 1 FEB: Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga agensi Kerajaan Negeri bagi tempoh lima tahun.

UIS memaklumkan agensi berkenaan adalah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menerusi kenyataan sama, UIS turut memperbaharui MoU kali ketiga dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi tempoh dua tahun berakhir pada 2025.

“MoU ini bagi mencapai persefahaman dalam menjalin pelbagai aktiviti kerjasama seperti membangun dan membentuk jaringan kepakaran dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan informasi.

“Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada pelajar UIS menjalani latihan industri mahupun kursus di agensi tersebut,” maklum UIS menerusi Facebook.

Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di UIS pada 31 Januari 2024. Foto Facebook UIS

Pada majlis sama, Fakulti Syariah dan Undang-undang UIS turut menganjurkan forum bertajuk “Pekerja Cemerlang, Idaman Majikan” bagi persediaan pelajar menjalani latihan industri.

Forum itu turut melibatkan wakil Jakess, JPSS, Jais dan PGSM sebagai moderator.

“Program ini dilihat dapat memberi pendedahan berkaitan amalan dalam profesion guaman dan kehakiman syarie kepada pelajar oleh pengamal undang-undang dalam pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia.

“UIS berterima kasih kepada Jakess, JPSS, Jais dan PGSM di atas kesudian memeterai MoU dan komited merealisasikan objektifnya, semoga kerjasama ini memberi impak pada masa depan,” katanya.


Pengarang :