AGENDAJENAYAH

Dua maut, dua parah kemalangan kereta di Kota Tinggi

JOHOR BAHRU, 1 FEB: Dua beradik maut, dua lagi parah termasuk kanak-kanak lelaki lima tahun dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar berhampiran Felda Air Tawar 3, dekat Kota Tinggi, pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi Mohd Syukri Mohd Yusof berkata dua mangsa yang juga adik beradik berusia 22 dan 36 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mereka tersepit di dalam Proton Wira dan dua lagi mangsa di dalam kereta sama termasuk kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, dipercayai ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia itu, parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan 10.33 pagi melibatkan kemalangan kenderaan jenis Toyota Hilux dan Proton Wira membabitkan lima mangsa dan mengerahkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota ke lokasi.

Mohd Syukri berkata warga emas dan kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi manakala pemandu Toyota Hilux tidak cedera.

– BERNAMA


Pengarang :