Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memeriksa bau air Sungai Buah dan Sungai Semenyih selepas mengesan bau abnormal pada 5 Februari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Usaha pantas LUAS berjaya pulihkan bau abnormal di Sungai Semenyih

SHAH ALAM, 6 FEB: Pemantauan statik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Sungai Semenyih berjaya memulihkan kualiti air tercemar susulan penemuan bau abnormal di kawasan itu semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kawalan selesai dalam tempoh sejam dengan bacaan 0 ton direkodkan tiga kali berturut-turut mulai 11.30 malam tadi di muka sauk Jenderam Hilir.

Hasil daripada tindakan segera tersebut, beliau menjelaskan air mentah berjaya disalurkan kepada loji pada jam 12.30 pagi dengan bau itu dikesan berpunca daripada kawasan luar Selangor.

“Pasukan LUAS segera digerakkan untuk carian dan pengesanan punca serta menemukan bau yang serupa di sempadan Selangor berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan.

“LUAS dengan segera meletakkan karbon teraktif (AC) sebanyak 10 beg (250 kg) sebagai langkah
nyahbau di aliran tersebut sebelum memasuki Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah menambah LUAS bersama agensi berkaitan di sempadan negeri mendapati aliran bau abnormal tersebut disyaki berpunca daripada sebuah kawasan perindustrian.

Berikutan itu, katanya, premis berkenaan diarah untuk segera menghentikan aliran pelepasan selain LUAS meletakkan dua beg AC seberat 50kg untuk nyahbau di titik pelepasan akhir premis.

“Pemantauan statik LUAS sepanjang malam sehingga jam 8 pagi tadi di Sungai Semenyih menunjukkan bacaan normal di aliran sungai dan keadaan terkawal.

“LUAS membuat semakan susulan di lokasi berhampiran R&R terlibat dan Sungai Buah pada 10 pagi dan tiada lagi sebarang potensi serta aliran pencemaran dikesan,” jelasnya.

 

 

 


Pengarang :