Keadaan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Sinar Budi Baru di Kuching masih menempatkan 297 penduduk sejak semalam ketika tinjauan pada 3 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,361 mangsa banjir Sarawak berlindung di 12 PPS takat 8 malam

KUCHING, 3 MAC: Seramai 1,361 mangsa banjir daripada 351 keluarga di Sarawak masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini susulan banjir yang masih melanda kawasan selatan negeri itu.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), jumlah mangsa banjir menurun sedikit berbanding 1,497 orang daripada 392 keluarga di 14 PPS pagi tadi.

“Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kuching iaitu Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dengan 297 mangsa, diikuti Dewan Masyarakat Stapok (238) dan Dewan Taman Malihah (227),” menurut laporan itu.

Sejumlah 12 PPS yang aktif berkenaan terletak di beberapa kawasan di Kuching, Bau, Serian dan Siburan.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Tengah, Lundu ditutup 8 malam tadi.

– BERNAMA


Pengarang :