Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

19 individu ditahan terlibat sindiket penipuan perniagaan

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Seramai 19 individu termasuk warga asing ditahan kerana disyaki terlibat sindiket penipuan perniagaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Ampang, 25 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata semua ditahan itu terdiri masing-masing empat lelaki dan wanita tempatan serta enam lelaki dan lima wanita warga China berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga Taiwan yang mendakwa ditipu dalam satu skim penipuan perniagaan pada 25 Mac lalu.

“Menurut mangsa, pada Januari 2024, dia dipelawa rakannya (melalui WeChat) untuk menyertai skim perniagaan jual beli barangan secara dalam talian melalui syarikat Amazon Joint Operation. Mangsa diyakinkan perniagaan itu merupakan cawangan syarikat Amazon di Amerika Syarikat.

“Terpedaya dengan tawaran, pengadu memindahkan USDT 70,000 (RM331,000.00) ke dalam akaun e-dompet diarahkan. Namun setelah wang dipindahkan, mangsa tidak menerima keuntungan dijanjikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sindiket berkenaan menawarkan keuntungan sehingga 10 peratus seminggu daripada jumlah wang yang dilaburkan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas lapan komputer riba, tiga notepad, dua set komputer, 31 telefon bimbit, satu modem dan router, empat kad akses, kunci kereta, satu kereta jenama Bentley dan wang tunai RM23,400.

Ramli berkata 19 individu berkenaan direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pada hari sama polis turut menahan tujuh individu terdiri satu lelaki dan wanita tempatan serta lima lelaki warga China dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian Non Fungible Token (NFT) dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Jalan Pinang.

Ramli berkata mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun dan polis turut merampas empat komputer riba, satu Ipad, tujuh telefon bimbit, satu modem, router dan kad akses rumah serta satu kunci rumah.

“Hasil pemeriksaan, sindiket ini telah beroperasi di unit berkenaan kira-kira sebulan dan disyaki terlibat dengan penipuan pelaburan NFT secara dalam talian menggunakan platform X dan Discord yang menyasarkan warga China.

“Sindiket ini bertindak sebagai Key Opinion Leaders (KOLs) dalam ruang perdagangan NFT dan menggunakan nombor e-wallet untuk memperoleh keuntungan melalui platform X dan Discord,” katanya.

Tujuh individu itu ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :