Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Anggerik di Giant Seksyen 13, Shah Alam pada 2 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Agihan baucar beli-belah dipantau pastikan sampai ke golongan sasar

SHAH ALAM, 7 MAC: Agihan baucar Jom Shopping di kawasan pembangkang dipantau bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, kata EXCO pembasmian kemiskinan.

Menurut V Papparaidu, pihaknya juga menetapkan edaran itu dibuat secara adil terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih tidak memiliki penyelaras.

“Kita akan pantau adakah edaran dibuat secara adil atau tidak kerana selain penyelaras, kita juga menggunakan tenaga kerja melalui pejabat ketua kampung, penghulu dan ketua komuniti India.

“Bagi DUN yang masih tiada penyelaras, Kerajaan Negeri kini dalam peringkat akhir untuk membuat lantikan,” katanya menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 82,400 individu dijangka menerima manfaat baucar Jom Shopping perayaan tahun ini bernilai RM200 setiap seorang.

Program tersebut menyasar golongan berpendapatan rendah untuk menerima inisiatif jangka panjang bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan mereka mengikut perayaan masing-masing.

Syarat pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat itu juga ditingkatkan kepada bawah RM3,000 sebulan berbanding bawah RM2,000 sebelum ini.


Pengarang :