Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menawar pertolongan bagi membersihkan maklumat diri dari aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Ahli perniagaan rugi lebih RM400,000 diperdaya sindiket menyamar polis

IPOH, 31 MAC: Seorang ahli perniagaan di Taiping mengalami kerugian sebanyak RM418,200 akibat ditipu sindiket phone scam membabitkan modus operandi penyamaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan hari ini berkata polis menerima laporan berkenaan penipuan itu daripada seorang lelaki iaitu pengadu terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 36 tahun, pada kira-kira 4 petang, semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama Insp Hazizi kira-kira 10 pagi, pada 27 Feb lepas.

Mohd Yusri berkata suspek memberitahu mangsa bahawa namanya telah terlibat dengan kes jenayah, selain menghantar satu waran tangkap yang dikeluarkan atas nama mangsa melalui aplikasi WhatsApp.

“Pengadu (mangsa) juga diberitahu oleh suspek bahawa dia telah membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan mendapati pengadu mempunyai simpanan tetap di bank. Pengadu diarahkan untuk membuat penukaran daripada akaun simpanan tetap miliknya ke akaun simpanan biasa,” katanya.

Mohd Yusri berkata mangsa tidak pasti bagaimana suspek mendapat tahu maklumat akaun tetap miliknya kerana tidak pernah memberikan sebarang makumat kepada suspek sebelum ini.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa agar melakukan pembayaran wang sepertimana yang diarahkan sekiranya mahu terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Oleh kerana dalam keadaan ketakutan dan cemas, pada 27 Feb 2024 hingga 26 Mac 2024, pengadu telah melakukan tujuh kali transasksi pindahan wang ke enam akaun bank berbeza berjumlah RM418,200,” katanya menambah setelah sedar ditipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu).

– BERNAMA


Pengarang :