Penternak lembu, Mahadi Hasan, 45, memandikan ternakan lembunya akibat keadaan cuaca panas yang melampau khususnya pada waktu tengah hari ketika tinjauan di Kampung Sungai Mati, Langgar, Alor Setar pada 20 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuaca panas, kering dijangka berkurang awal April, hujan sebelah petang

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Keadaan cuaca panas dan kering yang dialami negara ketika ini dijangka berkurangan awal April apabila fasa peralihan monsun dijangka berlaku dalam tempoh itu.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata fasa tersebut berlaku apabila terdapat perubahan arah angin dari Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya.

“Kebiasaannya, pada fasa peralihan monsun ini, corak tiupan angin membawa kepada aktiviti hujan ribut petir di sebelah petang dan kita jangka situasi ini berlaku awal April.

“(Cuaca panas dan kering) masih bertahan sehingga seminggu ke hadapan tetapi kita harap dengan ada banyak aktiviti hujan berlaku (pada fasa peralihan monsun) ini akan meredakan kembali suhu yang agak tinggi sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia di Bernama TV hari ini.

Maqrun Fadzli berkata dalam menghadapi cuaca panas, orang ramai dinasihati memakai pakaian bersesuaian dan selesa serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan kesan terhadap suhu tinggi ketika ini.

Malah, katanya MetMalaysia sentiasa bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan sekiranya terdapat keperluan dan sebarang maklumat akan diberitahu dari semasa ke semasa.

“Sebenarnya kalau kita lihat gelombang haba di Malaysia, tak begitu bahaya dibandingkan dengan negara lain seperti di India sehingga boleh menyebabkan kematian namun, kita memahami suasana tidak selesa dialami rakyat dalam keadaan panas, terutama pula dalam Ramadan, dugaan sedikit tinggi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :