EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah ketika sesi pertanyaan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Syarat pemutihan pusat tahfiz tidak menekan pengusaha, jamin keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 5 MAC: Beberapa pindaan syarat dilakukan dalam program pemutihan pusat tahfiz 2.0 bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain tidak menekan pengusahanya.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata pindaan melibatkan pemberian kebenaran merancang tempoh terhad kepada pusat tahfiz dengan syarat minima.

“Kita juga mengecualikan yuran serahan kepada pengusaha. Ini antara cadangan tetapi belum dimuktamadkan.

“Garis panduan kali ini nak pastikan peratus pemulihan lebih tinggi dari fasa pertama dan sekolah mampu mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh, Fahmi berkata ketika ini Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN) sedang meneliti cadangan peringkat akhir sebelum dibentang ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Libat urus juga dilakukan antara PLAN dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk pastikan cadangan kepada pengusaha mudah dan praktikal,” katanya.

Pada Februari, Fahmi memaklumkan pemutihan maahad tahfiz 2.0 akan dilakukan melibatkan lebih 300 pusat pembelajaran dengan sasaran 70 peratus dapat dibantu bagi mendapatkan lesen operasi.

Tahun lalu, fasa pertama program dijalankan terhadap lebih 500 sekolah tahfiz dan berjaya memutihkan kira-kira 35 peratus daripadanya.


Pengarang :