Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Yayasan Hijrah Selangor dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isu lantikan ketua kampung, ahli majlis diselesai secara muafakat sebelum Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MAC: Isu pembahagian jawatan ketua kampung dan ahli majlis antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor diselesai secara muafakat sebelum Aidilfitri

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan akan diatur dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan kemelut dalam tempoh terdekat.

“Untuk jawatan ahli majlis dalam masa seminggu atau dua minggu ini akan selesai. Jawatan ketua kampung sebelum Aidilfitri saya akan aturkan pertemuan dengan timbalan perdana menteri.

“Malam ini kalau ada kesempatan saya akan bincang dengan Pengerusi Umno negeri Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk menyelesaikan hal pelantikan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Hijrah Selangor dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berharap setiap perbincangan dapat dilaksana secara terbuka bagi membantu urus tadbir lebih cekap.

“Untuk jawatan ahli majlis kita akan pilih mereka yang mempunyai kelayakan ikhtisas atau profesional yang tidak mempunyai jawatan utama dalam parlimen atau parti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan meneliti cadangan supaya murid sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dibenar memakai pakaian sukan susulan cuaca panas.

“Saya akan semak apa keperluan dan ada atau tidak rungutan ibu bapa, guru dan murid. Kalau ada keperluan kita akan umum kebenaran khas pemakaian pakaian sukan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota pelaksana memakai pakaian sukan sopan ketika cuaca panas.


Pengarang :