Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isu stoking: Selangor periksa premis jualan lain

SHAH ALAM, 22 MAC: Kerajaan Negeri akan melakukan pemeriksaan terhadap premis jualan lain bagi memastikan stoking tertera kalimah Allah tiada lagi berada dalam pasaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan tindakan itu melibatkan kerjasama antara pejabat EXCO agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan EXCO Kepenggunaan Datuk Rizam Ismail.

“Kita sudah bincang dan usaha penguatkuasaan itu untuk semak supaya tak ada lagi di pasaran (stoking). Kita akan ke KK Mart untuk melihat bekalan mereka dan juga tempat lain.

“Ini susulan laporan di Johor, terdapat (penjualan stoking) di premis lain. Jadi kita nak periksa adakah bekalan stoking masih ada,” katanya ditemui selepas majlis Marhabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam hari ini.

Amirudin berkata pihaknya juga akan memanggil pengurusan KK Mart bagi mendengar penjelasan lanjut.

“Perlu ikhlas dan jujur minta maaf. Mereka kena bertanggungjawab dengan stoking berkenaan dan selepas ini pastikan tiada lagi barang-barang yang mengganggu dan melukakan hati umat Islam,” katanya.

Pada 13 Mac, isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway tular di media sosial dan mengundang kemarahan ramai.

Pengasas KK Super Mart pada Sabtu berkata pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis pasar raya terbabit tanpa pemantauan pekerjanya.

Menurut Datuk Seri Dr KK Chai, pemeriksaan 800 cawangan KK Super Mart seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking terbabit melibatkan 14 pasang tertera kalimah Allah.


Pengarang :