SHAH ALAM, 3 MAC: Lebih 2,000 pengunjung memeriahkan Karnival Pertanian Madani Kota Raja 2024 di pekarangan Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) di sini hari ini.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program itu merupakan satu usaha membantu petani memasarkan produk selain pengguna mendapatkan barangan berkualiti.
“Kerajaan Negeri sentiasa membantu petani dalam mengusahakan tanaman, memberi bimbingan termasuk memasarkannya supaya pengguna menerima manfaatnya.
“Pada tahun ini, kita memfokuskan tanaman berkualiti seperti nanas, melon, jagung dan udang kara. Seperti nanas, Kerajaan Negeri sedang meningkatkan pengeluaran benih berkualiti di kawasan seluas empat hektar,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan karnival anjuran Kohijrah dan Parlimen Kota Raja dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/P-PertanianMadani-2-500x333.jpg.webp)
Mengulas lanjut, Izham berkata karnival julung kali diadakan selama dua hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Pelbagai pameran dan jualan produk pertanian berkualiti disediakan kepada pengunjung dengan tawaran harga menarik.
“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha agensi-agensi ini termasuk pihak swasta yang menganjurkan karnival seperti ini kerana pengguna dapat barangan berkualiti selain membantu petani memasarkan produk mereka.