Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir (tengah) bersama EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah meninjau suasana program Iftar Ala Madinah@Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam pada 14 Mac 2024. Foto Facebook Sinar Harian
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM jangka kutipan sisa bazar Ramadan meningkat tahun ini

SHAH ALAM, 15 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjangka peningkatan sisa bazar Ramadan tahun ini berbanding 73.67 tan metrik sampah yang dikutip setiap hari pada 2023.

Tanpa menyatakan jumlahnya, pengarah urusannya menasihati orang ramai supaya berdisiplin membuang sisa makanan dan mengurus sampah tersebut dengan sistematik, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya ini dapat kita lakukan dengan disiplin yang tinggi, insya-Allah akan dapat mengurangkan lambakan sampah domestik,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata KDEBWM menguruskan 10,817 petak bazar Ramadan di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Jelasnya, pembersihan turut melibatkan kawasan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam pada itu, syarikat pengurusan sisa pepejal negeri berkenaan turut menyumbang pakej makanan kepada 1,500 orang yang berbuka puasa semasa program Iftar Ala Madinah@Karangkraf semalam.

Program kebajikan itu termasuk serahan duit raya kepada 100 orang anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir dan Yayasan Islam Darul Ehsan.


Pengarang :