Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (duduk, kanan) melihat silibus pembelajaran bersama murid tahun tiga, Farah Ain Natalia Mohd Fauzi (tiga,kanan) ketika melawat Sekolah Kebangsaan Chepor, Ipoh pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian rangka pelan pembangunan baharu, perkasa hala tuju pendidikan negara

SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Pendidikan sedang merangka pelan pembangunan pendidikan baharu bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2026.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya kini dalam proses transisi daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada pelan pembangunan pendidikan baharu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja di Parlimen pada 23 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Kementerian Pendidikan juga telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menerajui perancangan hala tuju dan pelan pembangunan pendidikan baharu.

“Terdapat empat fasa pembangunan pelan pendidikan baharu iaitu analisis terperinci pencapaian prestasi pelan pembangunan dan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak berkaitan (industri, guru cemerlang, dengan fakulti) untuk input penambahbaikan sistem pendidikan negara.

“Selain itu proses perbincangan kumpulan berfokus dan dialog awam bagi mendapatkan input lanjut bidang keutamaan yang dipersetujui meliputi proses mendapatkan maklum balas deraf sehingga pelan tersebut mendapat kelulusan jemaah menteri,” katanya.

Fadhlina dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini berkata Kementerian Pendidikan turut menubuhkan enam pasukan khas reformasi pendidikan.

“Ia akan memberikan tumpuan kepada enam hala tuju menerusi pasukan khas iaitu pasukan khas prasekolah, pasukan khas bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan pasukan khas latihan teknikal dan vokasional.

“Selain itu pasukan khas penjajaran kurikulum dan menangani keciciran, pasukan khas digital dan pasukan khas memartabatkan bahasa Melayu dan perkukuh bahasa Inggeris,” katanya.


Pengarang :