Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Kerajaan pertimbang gaji minimum RM4,000 untuk lepasan TVET

SHAH ALAM, 5 MAC: Akta gaji khusus akan digubal untuk lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan sasaran kadar pendapatan minimum RM4,000 ke atas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu sebahagian usaha bagi memperkasa industri berkenaan seiring pelancaran Dasar TVET Negara pada 2 Jun.

Menerusi dasar itu, katanya, hanya satu sahaja pusat pengiktirafan TVET akan diwujudkan bagi mengelak kekeliruan dan pertindihan antara kementerian dan agensi penyelia.

“Kita juga melihat daripada segi gaji. Terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berdasarkan kepada gaji minimum tetapi satu tahap lebih tinggi, yang dicadangkan RM4,000 ke atas.

“Untuk itu, ia secara tidak langsung menggalakkan pelajar untuk masuk institusi TVET ini,” katanya menjawab soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah program TVET juga akan dimulakan lebih awal selepas tingkatan tiga dengan kolej vokasional dan teknikal menjadi penghubung kepada institusi berkenaan.

 


Pengarang :