Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 11 MAC: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan platform bagi mendapat maklum balas pertubuhan atau persatuan belia depani cabaran transisi umur.
Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim berkata program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) bertujuan memberi penerangan lanjut kepada golongan sasar berhubung pelaksanaan Pelan Transisi Kepimpinan Belia kelak.
“Selain itu, segala maklum balas dan pandangan yang diterima akan diguna untuk memuktamad pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu kepada pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
“Antara kandungan utama pindaan Akta 668 adalah merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun,” katanya.
Beliau ditemui pada program berkenaan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut dihadiri EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Pada perkembangan lain, Adam Adli berkata Kembara JOM edisi ketiga kali ini disertai 2,500 belia, teramai sejak pelancarannya.
Program yang dimulakan di Melaka pada 17 Feb lalu membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas serta pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS.