BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lapar sihatkan tubuh, puasa terapi mental, panjangkan usia

Bulan Ramadan yang kunjung tiba tidak lama lagi menandakan umat Islam akan berpuasa selama sebulan.

Setiap hari dalam bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan menahan diri daripada makan, minum serta melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Perkara yang kita kena jelas ialah amalan berpuasa bukanlah datang daripada suruhan agama Islam semata-mata.

Ia tidak muncul selepas Islam mewajibkan umatnya berpuasa.

Ia mula diamalkan sekurang-kurangnya sejak zaman Yunani Purba lagi bagi tujuan rawatan dan ritual.

Pada zaman sekarang pun, tidak kurang orang berpuasa demi kesihatan semata-mata, bukan sebab ibadah – perkara ini tidak salah pun.

Bagi membincangkan manfaat berpuasa dari sudut kesihatan, kita sebagai umat Islam kena jelas bahawa kita berpuasa kerana agama mewajibkannya, kerana Allah perintahkan, bukannya kerana terdapat kebaikan kesihatan padanya.

Manfaat kesihatan melalui amalan berpuasa tidak dapat dinafikan.

Dari 2018 hingga ke 2020, seramai 209 orang terlibat dalam kajian kesan puasa sela (intermittent fasting) terhadap perubahan glukos dalam badan.

Kajian diterbitkan pada 2023 oleh Nature Medicine. Hasilnya menunjukkan puasa sela sebanyak tiga kali seminggu berupaya mengurangkan risiko diabetes.

Amalan ini menjadikan tubuh badan kita dapat mengurangkan rintangan insulan, seterusnya gula dapat dihantar ke sel-sel tubuh badan kita dengan lebih cekap.

Selain itu, puasa sela juga dapat meningkatkan metabolisme lemak tepu, sekali gus menambah baik tekanan darah dan mengurangkan berat badan.

Kemudian, menjadikan puasa sebagai rutin kehidupan dapat mengurangkan kolesterol. Perkara-perkara ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan angin ahmar.

Puasa mungkin amalan yang terbaik untuk mengurangkan berat badan.

Malah, kajian pada 2022 dari China menunjukkan berpuasa jauh lebih cekap untuk menurunkan berat badan berbanding mengamalkan kawalan pengambilan kalori.

Lazimnya kita kawal kuantiti makanan untuk kawal pengambilan kalori bagi mengawal berat badan tetapi berpuasa amalan yang jauh lebih baik.

Tambahan lagi, kajian lain pada 2020 dari Sepanyol menunjukkan berpuasa dapat mengurangkan lemak tubuh dan buncit pada perut.

Jadi terapi

Kajian pada 2018 menunjukkan amalan berpuasa dapat mengelakkan kita daripada hilang ingatan yang berkait dengan penyakit Alzheimer.

Kajian pada 2019 mencadangkan puasa dapat menjadi terapi untuk penyakit mental seperti keresahan, kemurungan (depression) dan penyakit neurosot (neurodegenerative) seperti Parkinson.

Namun, kajian-kajian ini hanya diuji ke atas haiwan iaitu tikus. Kajian lanjut perlu dibuat untuk melihat sejauh mana kesan amalan berpuasa ke atas kesejahteraan otak dan mental manusia.

Dalam badan kita mengandungi hormon yang bertujuan untuk pertumbuhan tulang, otot, ketinggian, meningkatkan sintesis protein, merangsang sistem imun, meningkatkan rintangan insulin dan pelbagai lagi.

Hormon ini dipanggil sebagai hormon pertumbuhan yang memainkan peranan sangat penting bagi keseluruhan pertumbuhan tubuh kita.

Kajian menunjukkan amalan berpuasa dapat meningkatkan paras hormon ini.

Berpuasa selama sekitar 38 jam dapat meningkatkan hormon pertumbuhan sebanyak 10 kali ganda dan mengurangkan kadar metabolik.

Amalan berpuasa dapat meningkatkan pelbagai jenis bakteria baik dalam usus kita termasuklah bakteria christensenella yang berkait dengan kelanjutan umur kita.

Dengan kata lain, kajian mencadangkan berpuasa dapat memanjangkan umur dan dapat membuatkan kita lambat mendapat penyakit.

Kajian ini juga masih di peringkat haiwan. Kajian lanjut perlu dibuat untuk melihat impak amalan berpuasa ke atas kelanjutan umur manusia.

Akhir sekali kajian juga menunjukkan amalan berpuasa dapat mencegah barah dalam situasi-situasi tertentu.

Berpuasa mungkin dapat mengurangkan pertumbuhan tumor dan toksik daripada rawatan kemoterapi.

Bagaimanapun, lebih banyak ujian klinikal dibuat untuk betul-betul mengesahkan keberkesanannya memandangkan kesan negatif juga dapat dikenal pasti pada pesakit barah yang berpuasa pada sesetengah kes.

Dengan manfaat kesihatan berpuasa yang banyak ini, kita juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana bagi sesetengah orang puasa juga dapat berikan kesan buruk terutamanya pada mereka kurang berat badan, orang tua, pesakit barah yang sedang menjalani rawatan dan orang yang kerap mengalami gastrik.

Lebih-lebih jika mengamalkan puasa sela yang menahan diri daripada makan dan minum lebih daripada 24 jam. Apa-apa amalan pun terbaiknya adalah bersederhana dan tidak berlebihan.


Pengarang :