Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi bersama peserta selepas majlis perasmian Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ketua jabatan, organisasi negeri disaran aktifkan jawatankuasa tempat kerja bebas dadah

SHAH ALAM, 27 MAC: Ketua jabatan dan organisasi peringkat negeri disaran mengaktifkan jawatankuasa Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) bagi membanteras penyalahgunaan dan jenayah terkait dadah atau bahan terlarang di agensi masing-masing.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata majikan juga bertanggungjawab mengingat dan menggalakkan warga kerjanya menjalani gaya hidup sihat tanpa pengaruh bahan terlarang.

“Penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang boleh mengakibatkan berlakunya berbagai masalah dan dalam kes tertentu ia mendorong kepada kehilangan nyawa, kecederaan, kerosakan harta benda dan menjejaskan imej organisasi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi berucap ketika majlis perasmian Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penyalahgunaannya juga dikenalpasti sebagai penyumbang kepada ketidakhadiran ke tempat kerja, produktiviti rendah, kadar berhenti kerja yang tinggi, dan penglibatan jenayah,” katanya berucap merasmikan Seminar Tekad peringkat Selangor di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.

Mohd Yazid berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 11 April 2021 meluluskan Inisiatif Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) 2021-2025.

“Melalui inisiatif itu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan usahasama agensi di bawah Dasar Dadah Negara, badan bukan kerajaan (NGO) serta pimpinan komuniti berjaya menghijaukan tujuh daripada 13 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah di Selangor.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi merasmikan Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sasaran penghijauan bagi tahun ini dan tahun depan adalah di mukim Damansara, Cheras, Tanjung 12, Setapak, Pandan dan Jugra. Semoga hasrat Dadah Terkawal 2025 dan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah dapat direalisasikan menerusi usaha berterusan seperti ini,” katanya.

Sementara itu ketua penolong pengarah pendidikan pencegahan AADK berkata tempat kerja boleh menjadi faktor pelindung seseorang individu terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah namun ia juga boleh menjadi faktor risiko untuk terjerumus dalam permasalahan itu.

“Kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada hampir 145,000 kes penyalahgunaan dadah setiap tahun penyumbangnya adalah pekerja. Mereka adalah kumpulan berisiko terjebak dalam permasalahan dadah disebabkan itu tempat kerja dikenalpasti sebagai tempat yang strategik untuk mengawal selia masalah ini,” kata Mahadzir Elias.

Terdahulu, seminar Tekad peringkat negeri anjuran bersama AADK, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan PKNS disertai kira-kira 150 peserta yang memberi pendidikan pencegahan dadah di tempat kerja dengan mendidik majikan dan pekerja mengenai bahaya dadah serta info terkini mengenai bahan terlarang itu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi berucap pada majlis perasmian Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 27 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :