Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 100,000 kes penipuan dalam talian direkod sejak 2020

SHAH ALAM, 4 MAC: Sebanyak 107,716 kes penipuan dalam talian direkodkan antara 2020 hingga 2023 dengan nilai kerugian RM3.2 bilion, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang).

M Kulasegaran menegaskan tindakan menyeluruh bersama agensi berkaitan terus diambil bagi menangani perkara itu termasuk mengesan nombor telefon disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Setakat Januari tahun ini, sejumlah 131 nombor ditamatkan kerana didapati terlibat aktiviti penipuan dalam talian, manakala 93 nombor yang meragukan disekat.

“Nombor berkenaan juga akan direkodkan dalam sistem semak polis sebagai panduan untuk orang awam membuat semakan sebelum meneruskan transaksi kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Kulasegaran memaklumkan kerajaan sedang merangka akta baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital dan membanteras penipuan dalam talian.

Beliau menambah akta itu juga akan mewajibkan bank untuk bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera jika didapati menjadi punca kepada jenayah tersebut.

“Saya berpendapat bank perlu bertanggungjawab. Pihak bank tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan. Jika pernah berdepan perkara itu, rujuk kepada agensi berkenaan,” katanya.


Pengarang :