Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggulung titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kewangan PKNS kukuh, rekod tunai RM804 juta takat Jun 2023

SHAH ALAM, 6 MAC: Kedudukan kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berada dalam keadaan kukuh dan mampu membiayai projek akan datang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan laporan dikeluarkan agensi penarafan pada Februari lalu, anak syarikat Kerajaan Negeri itu memiliki tunai RM804 juta setakat Jun 2023.

“Melihat draf dari tahun ke tahun dari 2019, 2020 ketika pandemik Covid-19, 2021, 2022..kita dapat tingkatkan pendapatan. Beberapa tahun sebelum itu 2015, 2016, 2017 timbulkan negatif lebih besar.

“Kita terpaksa menanggung dan biayai kehilangan yang berlaku sepanjang 2014, 2015, 2016, 2017 yang agak besar. Aliran tunai dapat tangani dan hasil lebih baik.

“Stok tertangguh diatasi lebih baik dan insya-Allah kita lebih baik dan berada di landasan betul,” katanya ketika sesi penggulungan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika ditemui di luar sidang, Amirudin berkata penjualan aset bawah prestasi antaranya bangunan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan sebahagian tanah di Kota Damansara merupakan langkah mengelak hutang dan bebanan lebih besar selain fokus kepada projek berdaya saing.

“Dia (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) hendak membangkitkan isu tentang bahagian penyelesaian terbaik tetapi untuk rekod tiga tahun (ketika menjadi Dato’ Menteri Besart) tiada apa-apa usaha menyelesaikannya.

“Alhamdulillah pengurusan terbaharu sekarang telah menyelesaikannya,” katanya.


Pengarang :