Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebih RM7 juta diagih perkasa ekonomi Melayu, Bumiputera

SHAH ALAM, 4 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk lebih RM7.7 juta tahun ini bagi memperkasa ekonomi orang Melayu dan Bumiputera melalui program keusahawanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu meningkat lebih 1.26 juta berbanding tahun lalu bagi memastikan usahawan tempatan mampu bersaing sehingga peringkat global.

“PKNS akan meningkatkan peruntukan setiap tahun. Demi memperkasa ekonomi orang Melayu, kita seharusnya menghentikan ekonomi yang tidak mencipta nilai (rent seeking) atau kapitalism kronisme.

“Kita bercita-cita besar mewujudkan pengusaha dan usahawan untuk maju melalui Ikon Agro, SelBiz dan program bawah Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec),” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Batang Kali Muhaimin Harith Abdullah Sani berhubung usaha negeri memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menambah projek bawah Rancangan Selangor Pertama seperti Pembangunan Kawasan Sabak Bernam dan Jajaran Rel Keretapi Kita Selangor juga bakal memanfaatkan orang Melayu.

“Kerajaan Negeri bercita-cita membangunkan projek infrastruktur yang akan meligatkan lagi ekonomi negeri dan rakyat, justeru projek sebegini akan membantu memperkasa perkara itu,” katanya.


Pengarang :