Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pembangunan tanah rizab Melayu hanya babitkan infrastruktur awam

SHAH ALAM, 6 MAC: Sebarang bentuk pembangunan di tanah rizab Melayu (TRM) tidak dibenarkan di negeri ini kecuali membabitkan pembinaan infrastruktur awam, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggantian perlu dilakukan mengikut keluasan saiz dan jenis tanah bagi memastikan rizab tidak berkurang.

“Sebahagian daripada penggantian melibatkan 1,800 hingga 2,000 ekar (728-809 hektar) dan ia melibatkan kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 1990-an yang belum diganti.

“Saya yakin kita berada di landasan yang betul dalam memastikan TRM dapat dipertahankan di negeri ini,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Amirudin menjelaskan Projek Pembangunan Rel Pantai Timur (ECRL) dan penggantian paip air yang dilaksana di negeri ini merupakan antara projek yang melibatkan proses penggantian TRM.

“Kita juga sedang memikirkan bagaimana boleh dibangun nilai kawasan tersebut (TRM)…selaras pengumuman yang dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) baru-baru ini,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Amirudin menjelaskan penggantian TRM di Selangor dibuat pantas manakala saiznya lebih luas berbanding proses sama dalam tempoh 10 tahun lalu.

Langkah itu bertujuan memastikan nilai tanah gantian setara yang asal dan menjadi lebih baik berbanding proses sebelum ini yang tidak teratur, cuai dan lambat.


Pengarang :