Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon melihat model rumah ketika program Home Buyer di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: PKNS masih terima untung, prestasi kewangan baik

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) masih memperoleh keuntungan menerusi pendapatan utama operasi selain kedudukan kewangan pada tahap yang baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa prestasi anak syarikat Kerajaan Negeri itu teruk selain menanggung hutang RM5.7 bilion.

“PKNS masih terima hasil daripada pendapatan utama operasi. PKNS mampu membayar semua liabiliti tanggungan berdasarkan operasi dan bukannya daripada pendapatan sukuk atau pinjaman yang dibuat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, penjualan tanah dan penswastaan.

“Pendapatan utama sepanjang tempoh itu hasil daripada penjualan tanah yang berjumlah kira-kira 60 hingga 80 peratus daripada keseluruhan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kedudukan kewangan PKNS.

Pada Jun tahun lalu, Amirudin menjangkakan PKNS terus mencatat keuntungan operasi selepas berdepan cabaran Covid-19 malah Kerajaan Negeri turut mempunyai perancangan 15 tahun untuk meneruskan peranan sebagai penyumbang dan pemangkin ekonomi Selangor.


Pengarang :