Program MySave Food @ Bazar Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumpul lebih 400 kilogram (kg) makanan dan minuman pada hari pertama penganjurannya pada 15 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
PBTSELANGOR

MBSA kumpul lebih 400 kilogram lebihan makanan, minuman di tiga bazar Ramadan

SHAH ALAM, 16 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumpul 429.8 kilogram (kg) makanan dan minuman pada hari pertama penganjuran program MBSA MySave Food @ Bazar Ramadan.

MBSA menerusi Facebook memaklumkan semua makanan itu dikumpul di tiga bazar iaitu di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

“Untuk hari pertama sahaja MBSA ‘menyelamatkan’ lebihan makanan sebanyak 429.8 kg.

“Makanan lebihan yang dikumpulkan diagihkan ke Pangsapuri Melewar Seksyen U1, Politeknik Shah Alam, Surau Al Hijrah Pangsapuri Ken Rimba Seksyen 16 serta Flat Proton Seksyen 27 Shah Alam,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

MBSA meneruskan program mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.

Program dianjurkan sejak tahun lalu itu diadakan Isnin hingga Jumaat bermula 14 Mac sehingga 3 April depan membabitkan tiga bazar Ramadan.

Peniaga bazar di lokasi yang terlibat boleh menghantar lebihan makanan yang tidak habis dijual ke khemah MBSA MySave Food.


Pengarang :