BUDAYARENCANA

Bebel Metropolis

dingin merenjis kabus di tiang-tiang beku pencakar langit Kuala Lumpur. tulang-temulang kota bergeretap dikejut loceng jam lima; ia terkenang kokok ayam jantan.

lampu jalan memalap di pangkuan pagi; hilang fungsi saat muncul mentari. antara seringai suria dan senyumsuram pekerja, siang bergeliat dengan seribu tanda tanya.

derap langkah marhaen di kaki-kaki lima—rentak dan irama pelbagai—sebuah pancaragam tercipta. lambaian pohonan tepi jalan; seperti guruh sorak peminat setia.

papan pemuka komputer membalikkan wajah manusia sama—bosan dan membosankan—wajah mahu berhenti dan wajah esok masih di sini lagi. cermin di meja, mendongak malu ke siling.

saat menanti kereta hadapan yang sedang menunggu kereta di depannya, mereka tertanya-tanya; apa sudah jadi dengan visi kereta angkasa?

di sini malam juga letih; mata cekungnya ingin tidur. tapi, mengapa isi mahsulnya masih lagi berhempas hingga lewat; mengejar ketidakpastian, menggilai ketidaktentuan?

 

Nik Mohd Hafiz

 


Pengarang :