Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman dan pemilik butik, Amar Amran (kanan) melayani kanak-kanak memilih baju pada program Jom Beli Baju Raya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran, Alam Avenue Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Penerima kelengkapan baju raya syukur, terharu MBSA ringankan beban

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM,19 MAC: Penerima kelengkapan baju raya sumbangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersyukur kerana bantuan berkenaan dapat meringankan perbelanjaan bagi menyambut Aidilfitri.

Wan Nurhazimah Wan Mohamed, 38, terharu dan berterima kasih atas sumbangan kelengkapan baju raya untuk empat orang anaknya yang berusia 6 hingga 13 tahun.

Wan Nurhazimah Wan Mohamed bersama empat orang anaknya yang menerima kelengkapan baju raya daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran di Alam Avenue 2, Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Sesi persekolahan baru sahaja dibuka dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada persiapan hari raya namun apabila dimaklumkan mengenai sumbangan ini, sudah tentu saya dan suami bersyukur.

“Ini kali pertama keluarga kami menerima sumbangan baju raya. Terima kasih MBSA atas keprihatinan mereka membantu golongan memerlukan seperti kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program jom beli baju raya di Butik Amar Amran di Alam Avenue 2, Seksyen 16 di sini hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (berdiri, tengah) bersama 60 penerima sumbangan program jom beli baju raya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran di Alam Avenue 2, Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam

Pada program itu, seramai 60 kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun daripada keluarga B40, fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan berkenaan.

Seorang lagi penerima Nur Qaseh Qaisara Abd Rahim, 15, teruja menerima sumbangan kelengkapan baju raya dan bersyukur sumbangan berkenaan dapat meringankan beban keluarganya.

Nur Qaseh Qaisara Abd Rahim,15, menerima kelengkapan baju raya daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran di Alam Avenue 2, Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. FOTO NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Saya tahu ibu dan ayah sudah bersusah payah menyediakan kelengkapan masuk sekolah sebelum ini.

“Untuk persiapan raya, saya berterima kasih kepada MBSA atas peluang dan rezeki yang diberikan ini,” kata anak ketiga daripada empat adik-beradik.


Pengarang :