Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bergambar bersama penerima sumbangan baju raya pada program Jom Beli Baju Raya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran, Alam Avenue Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

60 anak golongan kurang mampu terima sumbangan baju raya MBSA

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 19 MAC: Seramai 60 anak daripada golongan memerlukan menerima sumbangan kelangkapan dan baju raya daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk bandar Shah Alam berkata pemberian bernilai RM200 turut ditaja Butik Amar Amran yang menyumbang kelengkapan tambahan bagi menceriakan sambutan Aidilfitri.

Menurut Ir Cheremi Tarman, bantuan itu merupakan salah satu program kemasyarakatan dilaksana pihaknya bagi merapatkan hubungan ukhwah warga MBSA dengan masyarakat.

“Inisiatif ini juga mempromosi kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.

“Program ini juga merupakan sebahagian daripada elemen Matlamat Pembangunan (SDGs) iaitu Tiada Kemiskinan (SDG1) dan Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11),” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan berkenaan pada program Jom Beli Baju Raya MBSA di Butik Amar Amran dekati sini.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman dan pemilik butik, Amar Amran (kanan) melayani kanak-kanak memilih baju pada program Jom Beli Baju Raya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Butik Amar Amran, Alam Avenue Seksyen 16, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Penerima sumbangan terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah, fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU).

Pemilik butik, Amar Amran berkata pihaknya berterima kasih kepada MBSA kerana memberi peluang beliau menyantuni golongan yang memerlukan.

“Melalui kolaborasi ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk sampaikan sumbangan tambahan kepada komuniti,” katanya.


Pengarang :