Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (dua, kanan) melakukan gimik Pelancaran Bubur Lambuk Kasih di Galeri Jualan Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKNS agih 5,000 bubur lambuk, pek makanan asas kepada OKU

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 14 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagih 5,000 bekas bubur lambuk Kampung Baru kepada kakitangan serta orang ramai sempena Ramadan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) Suhaimi Kasdon berkata acara tradisi sejak lebih dua dekad lalu adalah aktiviti tahunan setiap kali bulan puasa.

“Tahun ini sebanyak RM40,700 dibelanjakan untuk program ini, manakala Koperasi PKNS Berhad diberi tanggungjawab untuk menyelaras edaran bubur lambuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Kasih PKNS di sini hari ini yang menyaksikan
1,000 bekas diedar kepada kakitangan dan 500 kepada orang awam di kompleks beli-belah berkenaan.

Orang ramai mengambil bubur lambuk yang disediakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Galeri Jualan Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tambah Suhaimi, edaran kedua sebanyak 500 bekas dijadual pada 19 Mac ini di lokasi sama dan tiga lagi sesi kepada anggota PKNS dengan jumlah yang sama.

“Ia sebagai tanda penghargaan kami kepada masyarakat awam, terutama pengunjung Kompleks PKNS Shah Alam yang menjadikan pusat beli-belah ini sebagai lokasi pilihan untuk mendapatkan keperluan hari raya,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (empat, kanan) bergambar bersama penerima pek bantuan keperluan asas dari Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) sempena Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Kasih di Galeri Jualan Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

PKNS turut menyampaikan pek Bekal Ramadan Kasih yang mengandungi barangan keperluan asas iaitu minyak masak, beras, gula, sardin dan kicap kepada orang kurang upaya (OKU).

Jelas Suhaimi, pengagihan melibatkan 65 keluarga OKU penglihatan yang merupakan ahli Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM).

“Seperti tahun lalu, pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program Ramadan Kasih PKNS diatur bagi memberi peluang kepada kami berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik dan juga komuniti,” katanya.


Pengarang :